.:allahu:.

Sunday, August 12, 2012

Raya dah nak dekat


Aidil Fitri, atau lebih tepat dengan ejaan Eidul Fitr merupakan sambutan bagi semua umat Islam, signifikan atas perjuangan melawan hawa nafsu serta melaksanakan perintah Allah dalam bulan Ramadan. Hari Raya disambut dengan meriah oleh semua umat Islam di seluruh dunia namun selaras dengan tuntutannya di mana tiada perselisihan antara agama dan budaya (asalkan ia tidak melanggar syariat), kedatangan hari yang mulia ini juga merupakan hari di mana anda dapat melihat pelbagai adat, tradisi dan sunah yang digabungkan.
Antaranya termasuk:
MEMASANG PELITA PADA MALAM 7 LIKUR
Malam tujuh likur merupakan malam 27 Ramadan dan biasanya kita akan memasang pelita atau panjut bermula malam tujuh likur. Digunakan untuk menerangi jalan suatu masa dahulu, kini ramai yang memasang pelita sebagai hiasan menyambut Hari Raya, malah digunakan untuk menyalakan bunga api!
Suatu masa dahulu juga pelita tersebut dipercayai untuk menyuluh jalan roh-roh orang mati supaya memudahkan mereka menemui jalan pulang ke rumah. Namun itu cuma kepercayaan karut dan tahyul dan menjadikan hukumnya haram.
Maka sekiranya anda ingin memasang pelita, pasanglah sekadar untuk menggamit nostalgia!
MENYEDIAKAN JUADAH HARI RAYA
Tidak sah raya di negara ini tanpa ketupat, lemang, rendang, lodeh, kuah kacang dan kuih-muih pelbagai rupa dari yang tradisional seperti semperit, sarang semut dan bahulu sehinggalah kuih-muih dengan nama barat seperti Almond London atau nama produk seperti biskut Mazola. Malah kini ada pula bahulu pelbagai rasa, dari bahulu coklat, blueberry dan perisa pandan. Tak mengapalah. Asalkan tiada sesiapa terfikir nak memulakan resipi rendang blueberry. 

MELAUNGKAN TAKBIR
Sebaik sahaja anak bulan Syawal kelihatan, sunat hukumnya untuk melaungkan takbir dan diteruskan sehingga imam naik ke atas mimbar. Ia bukan semata-mata untuk memeriahkan sambutan dengan laungan yang mendayu-dayu, tetapi juga sebagai tanda semangat kerana berjaya dalam perjuangan menentang hawa nafsu dan bersyukur dengan anugerah yang telah diberikan Allah sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 185:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, dan supaya kamu bersyukur."
MANDI SUNAT AIDILFITRI
Begitu mudah untuk peroleh pahala pada Hari Raya. Anda hanya perlu berniat untuk mandi atas kedatangan Aidil Fitri. Namun sekiranya rakan anda terlalu lama mandi sunat Aidil Fitri di dalam bilik air, maafkanlah dia.
MAKAN BUAH KURMA
Satu lagi perbuatan sunat pada Hari Raya merupakan amalan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Sunat Hari Raya. Hadith Rasulullah SAW ada menyebut:
"Dari Anas ia berkata: Rasulullah SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga dimakan baginda terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja' bin Raja telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata: telah diceritakan oleh Anas dari Nabi SAW: Dan baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil."
SOLAT SUNAT HARI RAYA
Hadis nabi ada menyebut: "Dari Al-Baraa' ia berkata: Aku mendengar Nabi SAW berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang."
Haruslah diingatkan, sekalipun solat sunat Hari Raya bukan sahaja perkara sunat malah sudah menjadi tradisi umat Islam untuk mengerjakannya, Semua itu tidak bererti sekiranya anda tidak pernah mengerjakan solat yang wajib.
MENZIARAHI TANAH PERKUBURAN
Sekalipun tiada tertera di dalam sunnah mengatakan kewajipan menziarahi tanah perkuburan pada Hari Raya, ia tetap menjadi tradisi. Kebiasaannya dilakukan selepas solat sunat Hari Raya, tradisi menziarahi kubur ini adalah untuk mendoakan mereka yang telah pulang ke Rahmatullah dan mengingati kematian
BERPAKAIAN BARU
Bila lagi anda akan melihat teman sekerja yang selama ini tidak pernah berbaju kurung tampak ayu mengenakan kurung satin serba baru? Hari Raya merupakan hari di mana tua dan muda saling berpakaian baru atau paling tidak pun berpakaian kemas. Pelbagai jenis pakaian tradisi boleh dilihat pada hari ini. Baju kurung biasa, kurung Pahang, kebaya Riau, kebaya nyonya, cekak musang, teluk belanga, jubah, jubah kelawar, abaya dalam pelbagai warna.
BERMAAF-MAAFAN
Tiada waktu lain yang lebih syahdu selain daripada bermaaf-maafan di pagi raya. Bermula dengan yang kecil bersalam-salam dengan yang dewasa, anak dengan ibu bapanya, ibu bapa dengan datuk dan nenek dan begitulah seterusnya. Inilah masanya untuk memohon semua salah dan silap (zahir dan batin) yang dilakukan selama ini. Atau buat anak-anak kecil, inilah masanya untuk menerima duit raya! 
KUNJUNG-MENGUNJUNGI
Amalan kunjung-mengunjungi merupakan satu tuntutan dan tradisi yang tak akan pernah lapuk ditelan zaman. Inilah waktunya untuk saudara-mara yang saling tidak mengenal mula bertaaruf. Inilah masanya untuk bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bersua muka. Inilah juga masanya untuk merapatkan kembali jurang antara sesama Muslim.
MEMBERI DUIT RAYA
Tradisi yang paling disukai oleh kanak-kanak, Hari Raya bagaikan tidak lengkap tanpa sampul raya pelbagai warna yang biasanya akan bersepah di atas lantai lima minit selepas diberikan. Terpulang kepada si pemberi untuk memberikan sebanyak mana yang mereka mahu, tradisi ini dilihat sebagai satu usaha untuk menggembirakan orang yang tersayang dan dalam masa yang sama berfungsi sebagai satu sedekah. Ada juga yang menjadikan sampul duit raya sebagai koleksi, tidak ubah seperti pengumpul setem!
MENGADAKAN RUMAH TERBUKA
Tidak sah Hari Raya tanpa ada jemputan ke rumah terbuka. Selain daripada merapatkan ukhuwah sesama insan, majlis-majlis sebegini juga membolehkan semua sanak-saudara, rakan taulan dan jiran-jiran untuk bertemu dalam satu majlis. Bertemu jodoh? Mungkin juga!
PUASA ENAM
Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia berpuasa enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti dia berpuasa sepanjang tahun." (HR Muslim)
Puasa enam kini semakin popular dan menjadi satu daripada usaha yang dilakukan pada bulan Syawal. Bukan sahaja untuk mendapatkan pahala malah ia cara terbaik untuk membakar lemak akibat pengambilan rendang ayam yang berlebihan!

Sumber from yAhoo News



No comments:

Untuk diriku, kamu, KAMI, dia dan daku...
jikalaU lanGit mEmbiru iTu mamPu haMba gapAi, maKa sakTilah haMba...

JIKA HATI ITU SEPUTIH AWAN, biarlah ia bergerak dengan KEIKHLASAN, JIKA HATI ITU SETENANG LAUTAN, mengalirlah ia dengan KEJUJURAN, JIKA HATI ITU SEINDAH PELANGI, warnakanlah ia dengan KEBAHAGIAAN, JIKA HATI ITU SEHEBAT BULAN, sinarkanlah ia dengan PERSAHABATAN, JIKA HATI DILUKAI, sembuhkanlah ia dengan KEMAAFAN...